Pelajar Perempuan Ditahan Bersama Dadah

1 April – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditahan berhampiran Pangsapuri Fasa 7, Presint 9 Putrajaya di sini Jumaat lalu kerana disyaki memiliki dadah dipercayai jenis ketamin seberat 9.4 gram.

Pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 10.25 pagi bersama empat lelaki ketika berlegar-legar berhampiran pangsapuri terbabit dalam keadaan mencurigakan selepas mendapat maklum balas orang ramai.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Abdul Razak Abdul Majid berkata, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian dan menahan kelima-lima individu terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan terhadap pelajar berkenaan, polis menemui serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 9.4 gram dalam beg pelajar terbabit. Pelajar itu juga didapati ponteng sekolah.

“Pelajar berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Empat lain yang ditahan ialah dua pelajar dari Shah Alam dan dua penganggur.

Kelmarin, kata Abdul Razak, pelajar perempuan berkenaan dibebaskan atas jaminan polis sementara menunggu perbicaraan.

Katanya, pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1957 dan jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman berkelakuan baik selama dua tahun memandangkan dia masih di bawah umur.

Dalam kes lain, beliau berkata, Geng Cuci yang sebelum ini dikesan mencuri barangan berharga ke beberapa pejabat di Presint Diplomatik di sini kembali mengganas apabila mencuri enam komputer riba di sebuah pejabat di Presint 14, selang beberapa hari selepas kejadian pertama.

Geng yang menyamar sebagai tukang cuci permaidani dan penghawa dingin itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengarahkan kakitangan syarikat terbabit mengosongkan pejabat bagi memudahkan mereka mencuci penghawa dingin.

Kejadian terbaru itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Ahad lalu dan mereka melarikan enam komputer riba yang dianggarkan bernilai RM22,000.

“Kita meminta orang ramai supaya memeriksa status mereka yang mendakwa sebagai tukang cuci penghawa dingin atau permaidani kerana dengan majikan masing-masing kita bimbang kejadian ini berulang pada masa depan.

“Ini adalah kes kedua dalam tempoh seminggu dan kami amat berharap supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang asing memasuki pejabat walaupun dengan alasan kukuh,” katanya. –Hmetro

  

changing_colors_4.gif

Add comment July 29th, 2009

355 Ditahan Pelbagai Salah Guna Dadah 2008

REMBAU 13 Feb. -Seramai 355 orang telah ditahan di daerah ini kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 orang iaitu berbanding 255 yang ditahan pada 2007.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R. Ravichandran berkata, daripada jumlah yang ditahan pada tahun lalu, seramai 275 orang terlibat dalam menagih dadah.

Katanya, seramai 57 lagi ditahan kerana memiliki dadah, menggunakan dadah (15 orang) dan mengedar dadah (lapan orang).

“Secara keseluruhan, jumlah tangkapan dadah di daerah ini menunjukkan peningkatan berbanding 2007,” katanya selepas memusnahkan sejumlah dadah yang menjadi barang bukti kes mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom.

Menurut Ravichandran, kesemua dadah yang dimusnahkan itu merupakan barang-barang bukti kes sepanjang 2004 hingga 2008.

Menurut beliau, tindakan pemusnahan itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan setelah perbicaraan di mahkamah selesai.

“Dadah-dadah itu adalah jenis heroin, ganja, eramin 5 dan syabu yang dirampas di sekitar daerah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mizan meminta orang ramai memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang kegiatan atau aktiviti berkaitan dadah supaya menyalurkannya kepada polis.

changing_colors_3.gif

Add comment July 29th, 2009

Program Perangi Dadah Terutama Dadah Sintetik

PUTRAJAYA 22 Jan. — Kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk akan melancarkan program kesedaran yang dipakej semula bagi tujuan mendidik masyarakat tentang bahaya dadah kepada diri mereka dan negara, terutamanya dadah jenis sintetik yang menjadi trend terkini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dadah jenis sintetik seperti syabu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dengan hanya selepas sekali dan dua kali mencubanya.

Beliau berkata, dadah sintetik merupakan bentuk ancaman baru yang amat serius kerana ia boleh dihasilkan di mana-mana sahaja seperti di dapur kondominium dan tidak semestinya di makmal sahaja.

“Oleh itu, trend yang dilihat setahun dua ini daripada pemindahan dadah dalam bentuk tradisional seperti ganja dan heroin kepada dadah jenis sintetik adalah satu fenomena yang perlu dibanteras.

“Kita akan teruskan usaha ini bukan sahaja daripada segi penguatkuasaan tetapi juga daripada segi kempen kesedaran yang perlu dipakej semula untuk memberi fokus kepada ancaman dalam bentuk baru itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan di sini hari ini. – BERNAMA

changing_colors_4.gif

Add comment July 28th, 2009

Penyampai Berita dan Pelakon Ditahan Positif Dadah

1 Januari – Seorang penyampai berita televisyen swasta dan seorang pelakon wanita adalah antara 26 orang yang ditahan dalam pesta seks dan dadah bagi meraikan kedatangan tahun baru di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee di ibu negara di sini awal pagi tadi.

Operasi pukul 3.30 pagi yang diketuai oleh ASP Mahani Ahmad dari Bahagian D7 cawangan maksiat, judi dan kongsi gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL )itu turut mendapati pembaca berita wanita dan pelakon itu positif dadah.

Mahani berkata, serbuan di sebuah bilik di tingkat 11 itu turut menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, kokain dan syabu serta minuman keras.

“Kesemua 26 yang ditahan berumur 18 hingga 31 tahun dan sembilan daripadanya iaitu enam lelaki dan tiga wanita positif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pembaca berita wanita itu gagal dalam saringan pertama ujian air kencing yang mana didapati positif dadah jenis ketamin dan syabu.

Mahani berkata turut ditahan dalam serbuan itu seorang pelajar dari sebuah kolej swasta di Kelana Jaya berusia 20 tahun yang dipercayai ejen pembekal dadah.

Katanya ketika serbuan terdapat tiga pasangan berada di atas katil manakala selebihnya sedang berhibur dalam keadaan separuh sedar dipercayai mabuk.

Difahamkan pesta seks dan dadah itu dianjurkan oleh dua lelaki dan kesemua mereka berkenalan di dalam kelab dan melalui rangkaian laman web friendster.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPKKL dan sembilan yang positif dadah disiasat di bawah Sekyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Sementara itu, sambutan malam tahun baru di Bukit Bintang tercemar apabila kira-kira 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Bintang mendapati beberapa kejadian pergaduhan membabitkan remaja dilaporkan berlaku sejurus selepas detik 12 malam tadi.

Antara punca pergaduhan itu adalah akibat salah faham dan kerana mabuk.

Bagaimanapun anggota polis yang bertugas bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan mereka yang terlibat telah ditahan untuk siasatan.

Selain itu, ada di kalangan pelancong asing yang menjadi sasaran peragut membabitkan kehilangan wang tunai, pasport dan alatan elektronik (gadget).

Sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh Balai Polis Bergerak yang ditempatkan di lokasi sambutan Tahun Baru di Jalan Bukit Bintang tersebut.

Seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas membuat kawalan pada malam itu. –BERNAMA

changing_colors_3.gif

Add comment July 28th, 2009

Next Posts


Pages

Recent Posts

Meta

Categories


This site is protected by Comment SPAM Wiper.