AADK Musnahkan 32 Sarang Penagih

July 29th, 2009

SEREMBAN 26 Julai – Sebanyak 32 sarang penagih dadah telah dimusnahkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang dijalankan sempena program ‘Jom Masuk Kampung’ di sekitar daerah ini yang bermula 24 Julai lalu dan berakhir malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abd. Samad Ibrahim berkata, lokasi yang dimusnahkan itu ialah binaan seperti pondok di dalam hutan dan rumah tinggal.

”Ini adalah susulan daripada tangkapan 182 orang yang disyaki penagih dadah dalam operasi yang dijalankan secara agresif di 10 kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid. Program itu telah disertai 280 orang pegawai AADK negeri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 182 orang yang ditahan itu mendapati 69 daripada mereka disahkan positif dadah dengan penagih paling muda merupakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Abd. Samad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Program ‘Jom Masuk Kampung’ menjelaskan, pelajar berkenaan ditahan ketika sedang khayal selepas mengambil dadah jenis syabu.

”Ketika ditahan dia bersama-sama tiga lelaki yang menjadi ‘penjaganya.’ Pelajar ini telah lari dari rumahnya sejak sebulan lalu dan tidak tinggal lagi bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal,” ujarnya.

Katanya, dia telah ditahan di Nilai pada 24 Julai lalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk tindakan.

Menurut Abd. Samad, AADK telah melawat 171 buah rumah menerusi program pendidikan, pencegahan dan penerangan tentang bahaya dadah.

”Kita telah menjalankan kempen di 138 kawasan, mengadakan dialog dengan masyarakat di 81 lokasi selain mengadakan aktiviti sukan di 15 tempat yang disasarkan oleh AADK negeri,” katanya.

Kata Abd. Samad, untuk program rawatan dan pemulihan, AADK negeri telah mengunjungi 91 rumah yang mempunyai penagih di bawah pengawasan selain kunjungan ke 55 buah rumah yang penghuninya berisiko mengambil dadah.

”Kita juga telah berjaya menjejaki 67 penagih yang selama ini gagal dikesan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pula, AADK negeri berjaya menahan tujuh penagih berusia 12 hingga 20 tahun, 36 orang (21 hingga 30 tahun), 22 orang (31 hingga 50 tahun) dan empat orang warga emas.

”Mereka yang ditahan termasuk tiga pegawai kerajaan dan seorang guru sekolah rendah,” katanya.

changing_colors_3.gif

Entry Filed under: Berita 2009

Leave a Comment

You must be logged in to post a comment.

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Pages

Recent Posts

Meta

Categories


This site is protected by Comment SPAM Wiper.