Posts filed under 'Berita 2009'

Sembilan suspek pengedar dadah ditahan

KUANTAN 5 Ogos – Polis Pahang menahan
lima lelaki dan empat wanita termasuk seorang pelajar sekolah yang disyaki anggota sebuah sindiket pengedaran dadah di pantai timur negara dalam satu operasi bersepadu hujung minggu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Pemangku DSP S. Xavier berkata, polis turut merampas tujuh kereta termasuk sebuah kereta jenis BMW yang dipercayai digunakan anggota sindiket itu.

Beliau berkata, serbuan pertama membabitkan penahanan seorang lelaki di sekitar kawasan sebuah hotel di Cherating pada kira-kira pukul 8 malam Sabtu lepas, hasil maklumat orang awam.

“Selepas diperiksa polis menemui 100 gram dadah jenis syabu yang bernilai RM70,000 dalam sebuah beg yang dijinjing lelaki itu, dan hasil soal siasat polis kemudian menyerbu sebuah bilik di hotel yang sama dan menahan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket terbabit, dan merampas wang tunai RM4,000,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

changing_colors_3.gif

Add comment August 5th, 2009

Polis tahan suami isteri disyaki edar dadah

KUALA TERENGGANU 5 Ogos – Polis merampas 450 gram dadah bernilai RM150,000 dan menahan sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengedar dadah, di perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot, Batu Rakit dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ia merupakan rampasan dadah yang terbesar oleh Polis Terengganu dalam tempoh
lima tahun lepas.

Beliau berkata dalam kejadian Isnin lepas, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuala Terengganu menyerbu sebuah kereta di kawasan masjid berkenaan kira-kira pukul 3.40 petang hasil maklumat orang awam. – Bernama

changing_colors_4.gif

Add comment August 5th, 2009

Polis rampas dadah RM10j disembunyi dalam gudang

GEORGETOWN 28 Julai-Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah, dipercayai terbesar di negeri ini selepas menahan tujuh lelaki, termasuk seorang Datuk dan merampas dadah bernilai lebih RM10 juta, yang disembunyikan di sebuah gudang di Sungai Dua, di sini, semalam.Dalam serbuan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, polis merampas lebih sejuta pil jenis Eramin 5 dan ecstasy yang disembunyikan dalam kontena dalam gudang itu dipercayai untuk diedarkan di negeri ini.

Polis turut merampas sebuah kereta mewah dan sejumlah wang tunai dalam serbuan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Negeri.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Superintendan S Batumalai, mengesahkan penahanan lelaki terbabit serta rampasan pil berkenaan.”Suspek yang berusia antara 25 tahun hingga 52 tahun kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini, semalam membenarkan polis menahan reman tujuh lelaki terbabit bagi membantu siasatan pengedaran dadah.Majistret Firdaus Abdul Wahab membenarkan mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.Mereka dibawa ke mahkamah pada jam 3.30 petang dengan diiringi beberapa anggota polis.

changing_colors_3.gif

Add comment August 5th, 2009

AADK Musnahkan 32 Sarang Penagih

SEREMBAN 26 Julai – Sebanyak 32 sarang penagih dadah telah dimusnahkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang dijalankan sempena program ‘Jom Masuk Kampung’ di sekitar daerah ini yang bermula 24 Julai lalu dan berakhir malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abd. Samad Ibrahim berkata, lokasi yang dimusnahkan itu ialah binaan seperti pondok di dalam hutan dan rumah tinggal.

”Ini adalah susulan daripada tangkapan 182 orang yang disyaki penagih dadah dalam operasi yang dijalankan secara agresif di 10 kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid. Program itu telah disertai 280 orang pegawai AADK negeri.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas 182 orang yang ditahan itu mendapati 69 daripada mereka disahkan positif dadah dengan penagih paling muda merupakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Abd. Samad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Program ‘Jom Masuk Kampung’ menjelaskan, pelajar berkenaan ditahan ketika sedang khayal selepas mengambil dadah jenis syabu.

”Ketika ditahan dia bersama-sama tiga lelaki yang menjadi ‘penjaganya.’ Pelajar ini telah lari dari rumahnya sejak sebulan lalu dan tidak tinggal lagi bersama ibunya yang merupakan seorang ibu tunggal,” ujarnya.

Katanya, dia telah ditahan di Nilai pada 24 Julai lalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan untuk tindakan.

Menurut Abd. Samad, AADK telah melawat 171 buah rumah menerusi program pendidikan, pencegahan dan penerangan tentang bahaya dadah.

”Kita telah menjalankan kempen di 138 kawasan, mengadakan dialog dengan masyarakat di 81 lokasi selain mengadakan aktiviti sukan di 15 tempat yang disasarkan oleh AADK negeri,” katanya.

Kata Abd. Samad, untuk program rawatan dan pemulihan, AADK negeri telah mengunjungi 91 rumah yang mempunyai penagih di bawah pengawasan selain kunjungan ke 55 buah rumah yang penghuninya berisiko mengambil dadah.

”Kita juga telah berjaya menjejaki 67 penagih yang selama ini gagal dikesan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pula, AADK negeri berjaya menahan tujuh penagih berusia 12 hingga 20 tahun, 36 orang (21 hingga 30 tahun), 22 orang (31 hingga 50 tahun) dan empat orang warga emas.

”Mereka yang ditahan termasuk tiga pegawai kerajaan dan seorang guru sekolah rendah,” katanya.

changing_colors_3.gif

Add comment July 29th, 2009

Program Gerak Gempur Dadah

KENINGAU 20 July-Seramai 2,307 penagih dadah direkodkan di seluruh nagara dalam tempoh januari hingga mei tahun ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor Justin Gukah.

Daripada jumlah itu katanya
Sabah hanya mencatat 17 penagih dalam tempoh yang sama dan memyaksikan penurunun penagih di seluruh Negara dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun katanya ini hanya yang direkodkan dalam Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan.

“Kita masih bimbang kerana sepanjang tahun lalu seramai 12,352 penagih dikesan di seluruh nagara dan Sabah mencatat 119 penagih” katanya semasa berucap merasmikan Program Gerak Gempur Dadah (GEMPADAH) Daerah Keningau 2009 anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dewan masyarakat di sini kelmarin.

Justin berkata, masalah dadah bukanlah satu masalah yang kecil atau pinggiran sahaja tetapi ia merupakan masalah yang merentasi sempadan, bangsa dan agama.

Katanya, jika masalah dadah ini dipandang ringan ia akan memusnahkan kesejahteraan sebuah keluarga, malah mmebentuk masyaraat bercelaru dan meruntuhkan moral golongan belia.

Juateru itu katanya, masalah dadah perlu direnungi, difikirkan bersama untuk mencari penyelasaian dengan merancang dan bertindak bagi membebaskan diri, keluarga, masyarakat, intitusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti daripada dadah selaras dengan tema “Rakyat Bangkit Memerangi Dadah”.

Beliau berkata, jika masalah dadah ini tidak ditangani secara bersepadu sudah tentu masalah penangihan dan penggunaan dadah akan menjadi bencana yang sangat besar dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama Justin berkata, dadah jenis syabu yang terkenal di
Sabah amnya dan Keningau khasnya akan menjadi semakin serius dan menjadikan negeri ini sasaran utama pasaran dan lokasi pemprosesan jika langkah pencegahan yang lebih drastik tidak diambil.

“Sebagai ahli masyarakat kita tidak dapat menafikan tanggungjawab dan komitmen dalam usaha memerangi dadah kerana penagih yang terlibat dengan dadah merupakan kelompok masyarakat kita sendiri” jelas Justin.

Maka sebagai masyarakat katanya, perlu lebih tahu dan arif bagaimana para penagih dan bekas penagih dibentuk semula untuk menjadi sebahagian dari cara kehidupan serta mematuhi nilai dan budaya di Negara ini.

Mengenai dengan GEMPADAH yang dianjurkan oleh AADK Justin berkata, ia dapat memperlihatkan bahawa kerajaan sentiasa serius dalam mewujudkan program dari masa ke semasa untuk menangkis arus perubahan dadah yang begitu kerap berlaku.

Program GEMPADAH berlangsung selama tiga hari di daerah ini dengan pelbagai pengisian seperti majlis Tahlil dan Bacaan Yassin di Masjid Ar-Rahim Keningau, Kempen/Publisiti sekitar daerah Keningau, Lawatan Mesra, Solat/Kuthbah Jumaat, Program gotong-royong dan jom masuk kampung di Kota Ayangan.

Selain itu, senamrobik, pameran, pertandingan mewarna, larian GEMPADAH, sukan rakyat, kuiz GEMPADAH, pertandingan tarian poco-poco dan sebagainya turut diadakan.

Hadir sama dimajlis itu Pegawai Daerah Keningau Amat Mohd. Yusof, Pengarah AADK Sabah Bakri Bibi, Ketua Daerah Keningau OKK Amir Datuk Arif dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

changing_colors_4.gif

Add comment July 29th, 2009

Penyalahgunaan Dadah dikalangan Mahasiswa Meningkat

15 Mei – Jumlah pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA / IPTS) di Sarawak yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohmad Salleh berkata pihak polis telah menahan sejumlah 16 pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 tempoh bulan Januari hingga April tahun 2008.

Manakala itu bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini, pihak polis pula telah menahan sejumlah 25 orang pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah ini, boleh dikatakan bahawa pembabitan jumlah pelajar dalam kes penyalahgunaan dadah telah menunjukkan jumlah peningkatan yang ketara bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini berbanding suku pertama tahun lepas.

“Lagipun untuk pengetahuan anda sejumlah 48 orang pelajar telah ditangkap di bawah Seksyen 6, Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditangkap di bawah Seksyen 3 (1) APD (R&P) 1998 untuk sepanjang tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya persidangan media di bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman sebelum mempengerusikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik / Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Suku Tahun Pertama Tahun 2009 di situ hari ini.

Mohmad juga turut menambah bahawa bagi sepanjang tahun 2008 sebanyak 2,628 kes dilaporkan dengan 2,893 orang tangkapan dibuat bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 termasuk 10 kes dengan 17 orang tangkapan di bawah Seksyen 39 B ADB 1952 dan 58 kes dengan 90 orang ditangkap bawah Seksyen 39 A ADB 1952.

“Lagipun pihak kita juga mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus di bawah ADB 1952 apabila sejumlah 1,121 kes dengan 1,251 tangkapan dibuat bagi tempoh bulan Januari hingga April 2009 berbanding 951 kes dan 1,066 tangkapan bagi tempoh yang sama untuk tahun 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian JSJ Narkotik Sarawak, Superitenden (Supt) Moses Agat dan penolongnya, DSP Osman dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

changing_colors_3.gif

Add comment July 29th, 2009

Pelajar Perempuan Ditahan Bersama Dadah

1 April – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga ditahan berhampiran Pangsapuri Fasa 7, Presint 9 Putrajaya di sini Jumaat lalu kerana disyaki memiliki dadah dipercayai jenis ketamin seberat 9.4 gram.

Pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 10.25 pagi bersama empat lelaki ketika berlegar-legar berhampiran pangsapuri terbabit dalam keadaan mencurigakan selepas mendapat maklum balas orang ramai.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Superintendan Abdul Razak Abdul Majid berkata, sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian dan menahan kelima-lima individu terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.

“Hasil pemeriksaan terhadap pelajar berkenaan, polis menemui serbuk putih dipercayai dadah jenis ketamin seberat 9.4 gram dalam beg pelajar terbabit. Pelajar itu juga didapati ponteng sekolah.

“Pelajar berkenaan ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Empat lain yang ditahan ialah dua pelajar dari Shah Alam dan dua penganggur.

Kelmarin, kata Abdul Razak, pelajar perempuan berkenaan dibebaskan atas jaminan polis sementara menunggu perbicaraan.

Katanya, pelajar itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Merbahaya 1957 dan jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman berkelakuan baik selama dua tahun memandangkan dia masih di bawah umur.

Dalam kes lain, beliau berkata, Geng Cuci yang sebelum ini dikesan mencuri barangan berharga ke beberapa pejabat di Presint Diplomatik di sini kembali mengganas apabila mencuri enam komputer riba di sebuah pejabat di Presint 14, selang beberapa hari selepas kejadian pertama.

Geng yang menyamar sebagai tukang cuci permaidani dan penghawa dingin itu menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengarahkan kakitangan syarikat terbabit mengosongkan pejabat bagi memudahkan mereka mencuci penghawa dingin.

Kejadian terbaru itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari Ahad lalu dan mereka melarikan enam komputer riba yang dianggarkan bernilai RM22,000.

“Kita meminta orang ramai supaya memeriksa status mereka yang mendakwa sebagai tukang cuci penghawa dingin atau permaidani kerana dengan majikan masing-masing kita bimbang kejadian ini berulang pada masa depan.

“Ini adalah kes kedua dalam tempoh seminggu dan kami amat berharap supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang asing memasuki pejabat walaupun dengan alasan kukuh,” katanya. –Hmetro

  

changing_colors_4.gif

Add comment July 29th, 2009

355 Ditahan Pelbagai Salah Guna Dadah 2008

REMBAU 13 Feb. -Seramai 355 orang telah ditahan di daerah ini kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 100 orang iaitu berbanding 255 yang ditahan pada 2007.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R. Ravichandran berkata, daripada jumlah yang ditahan pada tahun lalu, seramai 275 orang terlibat dalam menagih dadah.

Katanya, seramai 57 lagi ditahan kerana memiliki dadah, menggunakan dadah (15 orang) dan mengedar dadah (lapan orang).

“Secara keseluruhan, jumlah tangkapan dadah di daerah ini menunjukkan peningkatan berbanding 2007,” katanya selepas memusnahkan sejumlah dadah yang menjadi barang bukti kes mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom.

Menurut Ravichandran, kesemua dadah yang dimusnahkan itu merupakan barang-barang bukti kes sepanjang 2004 hingga 2008.

Menurut beliau, tindakan pemusnahan itu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan setelah perbicaraan di mahkamah selesai.

“Dadah-dadah itu adalah jenis heroin, ganja, eramin 5 dan syabu yang dirampas di sekitar daerah ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mizan meminta orang ramai memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

Beliau berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tentang sebarang kegiatan atau aktiviti berkaitan dadah supaya menyalurkannya kepada polis.

changing_colors_3.gif

Add comment July 29th, 2009

Program Perangi Dadah Terutama Dadah Sintetik

PUTRAJAYA 22 Jan. — Kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk akan melancarkan program kesedaran yang dipakej semula bagi tujuan mendidik masyarakat tentang bahaya dadah kepada diri mereka dan negara, terutamanya dadah jenis sintetik yang menjadi trend terkini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dadah jenis sintetik seperti syabu boleh menyebabkan seseorang itu menjadi penagih dengan hanya selepas sekali dan dua kali mencubanya.

Beliau berkata, dadah sintetik merupakan bentuk ancaman baru yang amat serius kerana ia boleh dihasilkan di mana-mana sahaja seperti di dapur kondominium dan tidak semestinya di makmal sahaja.

“Oleh itu, trend yang dilihat setahun dua ini daripada pemindahan dadah dalam bentuk tradisional seperti ganja dan heroin kepada dadah jenis sintetik adalah satu fenomena yang perlu dibanteras.

“Kita akan teruskan usaha ini bukan sahaja daripada segi penguatkuasaan tetapi juga daripada segi kempen kesedaran yang perlu dipakej semula untuk memberi fokus kepada ancaman dalam bentuk baru itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Kebangsaan di sini hari ini. – BERNAMA

changing_colors_4.gif

Add comment July 28th, 2009

Penyampai Berita dan Pelakon Ditahan Positif Dadah

1 Januari – Seorang penyampai berita televisyen swasta dan seorang pelakon wanita adalah antara 26 orang yang ditahan dalam pesta seks dan dadah bagi meraikan kedatangan tahun baru di sebuah bilik hotel di Jalan P. Ramlee di ibu negara di sini awal pagi tadi.

Operasi pukul 3.30 pagi yang diketuai oleh ASP Mahani Ahmad dari Bahagian D7 cawangan maksiat, judi dan kongsi gelap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL )itu turut mendapati pembaca berita wanita dan pelakon itu positif dadah.

Mahani berkata, serbuan di sebuah bilik di tingkat 11 itu turut menemui pelbagai jenis dadah seperti ketamin, kokain dan syabu serta minuman keras.

“Kesemua 26 yang ditahan berumur 18 hingga 31 tahun dan sembilan daripadanya iaitu enam lelaki dan tiga wanita positif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata pembaca berita wanita itu gagal dalam saringan pertama ujian air kencing yang mana didapati positif dadah jenis ketamin dan syabu.

Mahani berkata turut ditahan dalam serbuan itu seorang pelajar dari sebuah kolej swasta di Kelana Jaya berusia 20 tahun yang dipercayai ejen pembekal dadah.

Katanya ketika serbuan terdapat tiga pasangan berada di atas katil manakala selebihnya sedang berhibur dalam keadaan separuh sedar dipercayai mabuk.

Difahamkan pesta seks dan dadah itu dianjurkan oleh dua lelaki dan kesemua mereka berkenalan di dalam kelab dan melalui rangkaian laman web friendster.

Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke IPKKL dan sembilan yang positif dadah disiasat di bawah Sekyen 15 (1)9(a) Akta Dadah Berbahaya 1950.

Sementara itu, sambutan malam tahun baru di Bukit Bintang tercemar apabila kira-kira 40 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan Bukit Bintang mendapati beberapa kejadian pergaduhan membabitkan remaja dilaporkan berlaku sejurus selepas detik 12 malam tadi.

Antara punca pergaduhan itu adalah akibat salah faham dan kerana mabuk.

Bagaimanapun anggota polis yang bertugas bertindak pantas meleraikan pergaduhan itu dan mereka yang terlibat telah ditahan untuk siasatan.

Selain itu, ada di kalangan pelancong asing yang menjadi sasaran peragut membabitkan kehilangan wang tunai, pasport dan alatan elektronik (gadget).

Sebanyak 10 laporan polis telah diterima oleh Balai Polis Bergerak yang ditempatkan di lokasi sambutan Tahun Baru di Jalan Bukit Bintang tersebut.

Seramai 200 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas membuat kawalan pada malam itu. –BERNAMA

changing_colors_3.gif

Add comment July 28th, 2009


Pages

Recent Posts

Meta

Categories