Kastam rampas dadah RM71 juta

May 31st, 2018

NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 1.187 tan dadah jenis methamphethamine bernilai lebih RM71 juta di sebuah pasar raya mini di Seri Kembangan, Selangor, Selasa lalu.

Ia adalah rampasan terbesar setakat ini

Dalam operasi jam 7 malam bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, lima lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Tiga daripada suspek adalah warga Myanmar.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam, berkata soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan seorang wanita tempatan yang juga pengarah pasar raya itu berusia 31 tahun di Cheras, Selangor, pada hari yang sama.

“Keenam-enam suspek direman 10 hari bermula Rabu lalu sehingga Jumaat ini. Kami menzahirkan penghargaan atas kerjasama JSJN Bukit Aman dan ini adalah kejayaan terbesar,” katanya pada sidang media di pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan Tengah di sini, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 750 gram heroin bernilai RM120,000 dirampas.

Selain itu, JKDM turut merampas 1.24 juta batang pokok putih, satu tan tembakau, 1.5 tan tembakau kunyah dan 1.3 tan ubat-ubatan pelbagai jenis yang belum diluluskan kastam. Semua rampasan itu bernilai RM95,000 dan cukai mencecah RM1 juta.

Subromaniam berkata, pihaknya menyerbu premis berkenaan selepas risikan mendapati suspek menerima sebuah kontena yang dicurigai.

Katanya, pemeriksaan ke atas kontena itu membawa kepada penemuan 1,187 bungkusan berwarna kuning yang setiap satu seberat satu kilogram.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi methamphethamine yang keseluruhannya seberat 1.187 tan bernilai lebih RM71 juta,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati dadah itu yang diseludup dari Yangon, Myanmar, tiba di Pelabuhan Klang, Selangor.

Katanya, siasatan masih dijalankan kerana sindiket itu dipercayai ada hubungan dengan sindiket pengedaran dadah di Myanmar.

“Modus operandi sindiket itu adalah mendaftarkan bungkusan dadah sebagai bahan makanan dan ia untuk pasaran dalam negara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Entry Filed under: Uncategorized

Leave a Comment

You must be logged in to post a comment.

Trackback this post  |  Subscribe to the comments via RSS Feed


Pages

Recent Posts

Meta

Categories